Friday, April 29, 2011

KENAIKAN TALI PINGGANG DAN PENGANUGERAHAN SELEMPANG SERTA HIMPUNAN AHLI LAMA DAN BARU






26 April 2011








sekali lagi PSSSMK telah menganjurkan upacara kenaikan tali pinggang dan buat julung kalinya bagi upacara penganugerahan selempang. sambutan daripada kalangan ahli cukup membanggakan. seperti biasa persembahan daripada ahli yang akan menerima tali pinggang menggegarkan dewan majlis dengan iringan kumpulan gendang dari kumpulan anak didik Abg Mad Di Padang Lumat.





Wednesday, April 27, 2011

DUNIA MELAYU MENURUT PANDANGAN SHEIKH AHMAD AL-FATHANI

Koleksi artikel ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Dipetik dan disesuaikan kembali dari : BLOG ULAMA NUSANTARA

penulis petik kembali kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani yang beliau tulis dalam bahasa Arab dan pernah diterjemah dan dimuat dalam buku Hadiqatul Azhar war Rayahin: Asas Teori Takmilah Sastera Melayu Islam, jilid 1. Petikan itu ialah:

"Iaitu kesatuan semua bangsa Melayu, al-Malayuwiyah itu dibangsakan kepada Milayu, dengan baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di atas (fathah) dan baris depan (dhammah) huruf Ya'. Mereka adalah kelompok atawa segolongan besar manusia. Negeri-negeri mereka adalah sesubur-subur negeri dunia.

"Negeri Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina. Adalah alam Melayu itu terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-pisah. Pakar/ ahli ilmu geografi mengibaratkan bahawa alam Melayu itu adalah sebahagian daripada negeri-negeri India-Cina.

"Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan "Jawah", iaitu satu golongan manusia di satu pulau yang besar di sana. Orang Melayu bukanlah daripada orang Jawa.

"Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah-wilayah itu. Sebab itulah kebanyakan orang Hijaz/Arab memakai menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan bahasa Melayu.

"Bangsa Melayu itu adalah bersifat ikhlas, lemah lembut, lunak, berperibadi sopan. Mereka memiliki kehormatan yang sopan, menguasai pembaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman padanya.

"Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu daya mereka."

Tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani asli yang diterjemahkan di atas adalah dalam bahasa Arab dan ditempatkan pada bahagian tepi karya beliau berjudul Tashil Nail al-Amani. Kitab ini masih diajar di beberapa tempat di dunia Melayu, mahupun di tempat-tempat lain di dunia Islam terutama di Mesir.

Dengan kalimat yang pendek tetapi menyentuh pelbagai aspek tentang Melayu tersebut di atas, bererti Sheikh al-Fathani telah memperkenalkan peradaban dan ketamadunan Melayu di peringkat antarabangsa sejak tahun 1300 H/1882 M, iaitu tahun beliau selesai menulis kitab Tashil Nail al-Amani itu.

Perlu penulis sertakan penafsiran kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani tersebut, dimulai dari kalimatnya, "...al-Malayuwiyah itu dibangsakan kepada Milayu, dengan baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di atas (fathah) dan baris depan (dhammah) huruf Ya", takrif yang diberikan bererti menurut dialek Arab dibunyikan dengan perkataan "mi" (Mi-layu) atau "ma" (Ma-layu) sedangkan dalam dialek Melayu sendiri ialah "me" (Me-layu).

Tidak terdapat tulisan lanjut pendapat Sheikh Ahmad al-Fathani yang menyebut apakah perkataan Melayu itu dari bahasa Arab atau pun bahasa lainnya. Kemungkinan "mi" (Mi-layu) atau "ma" (Ma-layu) yang disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fatahani itu adalah berasal dari perkataan Arab.

Dunia Melayu - dari aspek geografi dan kesuburannya

Sheikh Ahmad al-Fathani memastikan letak negeri Melayu dengan katanya, "Negeri Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina". Ini adalah gambaran bahawa letak dunia Melayu yang strategik kerana diapit oleh dua tanah besar dalam benua Asia, iaitu Cina dan India.

Ia diperjelaskan lagi dengan kalimat, "Pakar / ahli ilmu geografi mengibaratkan bahawa adalah alam Melayu itu sebahagian dari negeri-negeri India-Cina. Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan Jawah."

Menurut Sheikh Ahmad al-Fathani, "iaitu satu golongan manusia di satu pulau yang besar di sana" atau di dunia Melayu. Dari perkataan "Jawah" kemudiannya menjadi Jawi. Walaupun antara orang Melayu dengan orang Jawa adalah serumpun Melayu, namun pada pandangan Sheikh Ahmad al-Fathani orang Melayu tidak sama dengan Jawa.

Inilah yang dimaksudkan dengan kalimat, "Orang-orang Melayu bukanlah daripada orang Jawa." Sukar juga kita mencari sebab asal usul dunia Melayu dinamakan tanah Jawi oleh orang-orang Arab, terutama orang Arab Mekah. Kemungkinan juga berasal dari nama Pulau Jawa yang terletak dalam gugusan kepulauan Melayu.

Selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, "Adalah alam Melayu itu terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-pisah", dalam Hadiqat al-Azhar. Ia adalah petikan Jaridah Al-Ma'lumat terbitan Betawi.

Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut beberapa buah pulau, katanya: "Adalah Kepulauan Nusantara, iaitu sejumlah pulau-pulau yang terdiri dari: Sumatera, Bangka, Belitung, Jawa, Madura, Bali, Lombok, Sumbawa, Flores, Timor, Borneo / Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan banyak lagi".

Kalimat selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, "Negeri-negeri mereka adalah sesubur-subur negeri dunia ..." yang dimaksudkan di sini ialah bahawa keseluruhan dunia Melayu mempunyai hasil yang banyak, baik hasil tanah daratan, hasil laut mahu pun yang terkandung dalam perut buminya yang demikian luas.

Dalam karyanya Thaiyib al-Ihsan fi Thib al-Insan, beliau berpendapat tentang kesuburan spesies tumbuh-tumbuhan untuk perubatan terdapat di bumi Melayu seperti yang beliau nyatakan pada kalimat, "Padahal kita jenis Melayu aula dengan demikian itu, dari kerana banyak segala ubat-ubat itu pada bumi kita. Hingga adalah kebanyakan ubat-ubat mereka itu diambilkan daripada bumi kita. Dan kita terlebih aula pada merintahkan diri kita daripada jenis yang lain daripada kita".

Aspek bahasa dan ciri-ciri bangsa Melayu

Setelah memperkenalkan bangsa Melayu, letak dan kesuburannya, Sheikh Ahmad al-Fathani melanjutkan bahasan tentang bahasa. Katanya, "Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah-wilayah itu."

Pada konteks bahasa-bahasa serumpun Melayu dalam Hadiqat al-Azhar, Sheikh Ahmad al-Fathani menjelaskan, "Bahasa mereka bermacam-macam iaitu Melayu, Jawa, Sunda, Madura, Bugis, Aceh, Bali, [dan bermacam-macam lagi]".

Walaupun di dunia Melayu terdapat berbagai-bagai bahasa, namun oleh sebab "Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan / mudah ...", maka bahasa Melayu adalah menjadi bahasa pengantar.

Sheikh Ahmad al-Fathani menyambung kalimatnya, "Sebab itulah kebanyakan orang Hijaz/Arab memakai/menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan bahasa Melayu".

Persyaratan sesuatu bangsa yang berperadaban atau bertamadun, tentang bangsa Melayu hingga tahun 1300 H/1882 M, Sheikh Ahmad al-Fathani berpendapat, "Sebahagian ciri-ciri khusus mereka itu ialah, bahawa seseorang tiada melihat di negeri mereka dan lainnya peminta-peminta secara paksa, walaupun keadaan mereka sendiri sangat miskin sekali pun".

Pandangan ini selain ditulis pada nota Tashil Nail al-Amani lebih lengkap ditulis pada nota karyanya Faridat al-Faraid yang ditulis tahun 1313 H/1895 M. Catatannya, "Muru'ah, ertinya "kemukaan" atau "kemanusiaan", iaitu kemuliaan seseorang, dan kesempurnaannya, dan beberapa adab yang ada sekalian itu pada dirinya yang membawa oleh memeliharanya akan dia kepada baik segala perangainya dan elok segala adatnya.

Dan terjemah hamba akan "muru'ah" dengan erti "kemukaan" itu, betul lagi nyata, kerana "kemukaan" pada bahasa Melayu itu kinayah daripada keadaan seseorang itu mempunyai nafsu yang dipuji.

Yang membawa akan dia kepada mengerjakan pekerjaan yang baik Lagi tiada reda ia sertanya mengerjakan barang yang tiada patut dengan keadaan manusia.

Maka iaitulah 'ain "muru'ah" yang pada bahasa Arab, dikatakan "Si Anu itu orang yang bermuka". Ertinya: "mempunyai maruah, yang ia malu mengerjakan barang yang tiada patut dan loba ia atas mengerjakan barang yang membawa kepada kepujian dirinya".

Dengan dalil memulia mereka itu akan orang dagang yang datang kepada negeri mereka, istimewa ahlil Hijaz. Dan jika tiada dibalaskan mereka itu dengan syukur sekalipun. Dan tiada ada pada mereka itu banyak tipu daya.

Dan tiada ada pada mereka itu menghilangkan air muka dengan meminta. Bersalahan setengah daripada jenis yang lainnya. Dan "kemukaan" ini lain daripada "wajahah" yang pada bahasa Arab. Kerana makna "wajahah" itu "al-hazhu wal ratbah".

Dan iaitu bukannya "kemukaan" yang pada bahasa Melayu. Maka tertolaklah dengan demikian itu i'tiradh setengah manusia akan tafsir hamba akan "muru'ah" dengan "kemukaan". Maka ia berkata ia [bahawa] "kemukaan" itu terjemah "wajahah" yang pada bahasa Arab.

Ada pun tafsir hamba akan "muru'ah" dengan "kemanusiaan", ertinya "keadaan seseorang itu manusia yang sempurna".

Maka, iaitu terlebih nyata, karena syaan manusia yang sempurna itu bahawa bersifat ia dengan segala barang yang tersebut pada makna "muru'ah" itu. Wallahu a'lam."

Masih dalam konteks di atas, sambungan kalimat pada nota Tashil Nail al-Amani dilengkapi dengan kalimatnya bahawa orang Melayu "memiliki kehormatan yang sopan ..."

Aspek perkembangan ilmu pengetahuan

Pada sambungan kalimat di atas Sheikh Ahmad al-Fathani menggambarkan orang Melayu dapat menerima perubahan perkembangan zaman serta cerdas menerima ilmu pengetahuan.

Inilah yang dimaksudkan dengan katanya bahawa orang Melayu "menguasai perbaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman padanya".

Mengenai perkataannya "menerima pemodenan teknologi" Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa tulisannya turut membicarakan perkara itu. (Lihat Al-Fatawal Fathaniyah Sheikh Ahmad Al-Fathani, jilid 3, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1422 H/2002 M, halaman 31-32).

Aspek kedaulatan pemerintahan

Dalam konteks kedaulatan pemerintahan, Sheikh Ahmad al-Fathani mengakhiri kalimat pada nota Tashil Nail al-Amani, katanya, "Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu daya mereka. Semoga Allah memelihara negara-negara Islam daripada mereka (kafir). Amin".

Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin dan beberapa karangan yang lain menyebut mulai kedatangan Islam di dunia Melayu sehingga membentuk daulah yang dipegang oleh orang-orang Islam.

Namun selanjutnya bangsa penjajah Portugis, Inggeris dan Belanda telah datang menjajah dunia Melayu. Khusus mengenai Patani juga beliau sentuh.

Thursday, April 21, 2011

KEBANGKITAN SEJURUS SELEPAS ZAMAN KEMERDEKAAN

Perjuangan memertabatkan Melayu Islam dipelopori pula oleh muridnya Tuan Guru Haji Mahmud Nasri Osmani dan tokoh-tokoh ulama berikut :

1) Tuan Guru Syeikh Umar Zuhdi Soleh - Madrasah Misbah Al-Falah, Banggol Berangan,
2) Tuan Guru Syeikh Othman Yunusi - Madrasah An-Nadhoh, Bukit Besar,
3) Tuan Guru Syeikh Abdul Aziz Ibrahim - Madrasah Al-Islah, Pendang, dan
4) Tuan Guru Syeikh Ramli Senik - Pondok Batu Hampar, Pendang

(Selain itu, tokoh politik Dato' Onn bin Jaafar juga turut berjuang menerusi PEKEMBER - (15)

Resolusi telah tercapai semasa muqabalah tokoh-tokoh Ulama ini antara lain untuk menyeru umat Islam Melayu segera kembali tajdid mewarisi semula segala ilmu dan amalan hidup/kehidupan yang diwarisi dari Rasulullah S.A.W. (bersanad yang sah) menerusi talqin dan tajdid (memperbaharui) dua kalimah syahadah bagi membersihkan jiwa raga dari segala bentuk kekufuran, kesyirikan dan keengkaran yang telah lama merosakkan aqidah umat Islam Melayu hasil peninggalan penjajahan.



KEBANGKITAN KINI

Kini, perjuangan ini telah diwariskan oleh Tuan Guru Ustaz Haji Ahmad Junaiddin selaku Murshidul Am Persatuan Warga Melayu Malaysia menerusi satu resolusi muzakarah ulung Warga Melayu pada 12 Rabiul Awal 1429 Hijrah bersamaan 20 Mac 2008 Masihi yang diadakan di Pejabat Persatuan Warga Melayu -No. 25, Persiaran Seroja 1/1, Bandar Amanjaya 08000 Sungai Petani, Kedah Darul Aman.
--------------------

Ahlul Bait

1) Dari keturunan/nasab terus (secara talian darah) dengan Rasulullah S.A.W. (menerusi Sayyidatina Fatimah r.a. dan Sayyidina Ali bin Abi Thalib k.w.), (biasanya menggunakan gelaran 'Syed' dan nama-nama keturunan - Al-Habshi, Al-Edrus, Al-Attas dll)

2) Dari satu keturunan/kaum keluarga/kerabat baginda S.A.W. (Bani Hashim),

3) Mereka yang diisytiharkan/dianggap sebagai 'keluarga' atau 'ahli rumah' baginda seperti Zaid bin Harisah dan Salman Al-Farisi,

4) Ulama Warisatul Anbia - mencintai Allah SWT dan Rasulullah S.A.W. (dan sunnahnya), memiliki akhlak/budi pekerti yang tinggi (zahir pada diri mereka Uswatun Hasanah, Rahmatul 'Aalamiin, Huluqin 'Azhiim dan Makarimul Akhlak) pembela agama - dikatakan sebagai pewaris asabah* keturunan Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W.

* Firman Allah SWT :

”Dan orang-orang yang beriman dan anak cucu (dzurriyah)nya mengikuti mereka dalam keimanan, maka kami golongkan anak cucu itu kepada mereka (orangtuanya). (QS: Al-Thur :20)

(*Mengikut kajian Ustaz Ahmad Che Din dan Ustaz Haji Idris Haji Mahmud - hal ini juga dikaitkan dengan maksud sebenar Itrah Ahlul Bait iaitu : ahli yang sesuai dinasabkan kepada Rasulullah SAW atas nasab keimanan termasuk sanad perguruan (ulama warisatul anbia) yang disahkan bertalian sehingga Rasulullah SAW)

5) Mereka yang memiliki kesemua ciri-ciri 1-4 (atau kesemua 1-4 juga dipanggil ahlul-bait)
--------------------
Rasulullah SAW bersabda:

"Setelah aku wafat (dan) setelah lama aku tinggalkan (dunia ini), umat Islam akan menjadi lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan (mengambil peluang) menindas mereka (umat Islam) bagaikan orang yang makan dengan rakus.”

Sahabat bertanya,

“Apakah ketika itu umat Islam lemah dan musuh terlalu kuat?”

Sabda Rasulullah S.A.W.,

“Bahkan mereka (umat Islam) pada masa itu (jumlahnya) lebih ramai (dari sekarang) tetapi tidak dapat memberikan apa-apa manfaat (tidak berguna), tidak dapat memberikan apa-apa erti (kesan) dan musuh (orang kafir) tidak takut (gerun) akan mereka. Mereka (umat Islam ketika itu) ibarat (hanya) buih di lautan.”

Sahabat bertanya lagi,

“Mengapa seramai itu tetapi (hanya) seperti buih di lautan?”

Sabda Rasulullah S.A.W.,

“Kerana (mereka dilanda) dua penyakit iaitu Al Wahan.”

Sahabat bertanya lagi,

“Apakah itu Al Wahan?”

Sabda Rasulullah S.A.W.,

“Cintakan dunia dan takutkan mati".

Dari Abu Daud dan Tabrani dari Abdullah bin Mas'ud dan dari pada Nabi SAW sabdanya:

“Kalaulah usia dunia ini hanya tinggal sehari (sahaja lagi), nescaya Allah akan panjangkan hari berkenaan sampai diutuskan kepadanya seorang lelaki (Al Mahdi) dari keluargaku. Namanya sama dengan namaku dan nama ayahnya sama dengan ayahku dan dia memenuhi dunia dengan keadilan sebagaimana (ketika itu) ia telah dipenuhi dengan kezaliman”

Dari Ibni Abi Syaibah dan Nu'aim bin Hammad dalam Al Fitan dan Ibnu Majah dan Abu Nu'aim dari Ibnu Mas'ud, katanya :

“Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba datang sekelompok anak-anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terlihat akan (wajah) mereka, maka Rasulullah berlinangan air mata dan wajah beliau berubah (muram/sedih). Akupun bertanya :

“Mengapakah kami melihat pada wajahmu, sesuatu yang kami tidak sukai?”.

Beliau menjawab :

“Kami Ahlul Bait telah Allah pilih untuk kami akhirat melebihi dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran sepeninggalanku kelak, sampai datangnya suatu kaum dari sebelah Timur yang membawa bersama mereka panji-panji berwarna hitam. Mereka meminta kebaikan , tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan memperoleh kemenangan. Lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu, tetapi mereka tidak menerimanya hingga mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki dari kaum kerabatku yang memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana bumi dipenuhi dengan kedurjanaan. Siapa di antara kamu yang sempat menemuinya, maka datangilah mereka walalupun merangkak di atas salji. Sesungguhnya dialah Al Mahdi.”

Dari Tsauban r.a. Sabda Rasulullah SAW :

“Akan datang Panji Panji Hitam dari sebelah Timur, seolah-olah hati mereka kepingan-kepingan besi. Barangsiapa mendengar tentang mereka, hendaklah datang kepada mereka dan berbaiatlah kepada mereka sekalipun merangkak di atas salji. (dari Al Hasan bin Sofyan dari Al hafiz Abu Nuaim - dari kitab Al Hawi lil fatawa oleh Imam Sayuti)

Rasulullah S.A.W. juga bersabda :

“Ulama itu adalah pewaris Nabi (Ulama Warisatul Anbia)”

Dari Ahmad dan Muslim dari Anas, Anas, Rasulullah S.A.W. bersabda :

“Dajjal yang diiringi oleh 70,000.00 tentera Yahudi Isfahan yang memakai toga”

Sunday, April 17, 2011

KEBANGKITAN ISLAM, MELAYU DAN MUJADDID

Kebangkitan pertama yang direkodkan menentang penjajah dan faham Zionist serta usaha menaikkan kembali kegemilangan Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam telah bermula sebelum 1940an. Gerakan yang memimpin ulama dan ahlul bait (mentajdid kembali Dua Kalimah Syahadah*) telah dipelopori oleh Ulama Terkenal Nusantara iaitu :

a) Ulama Jawi Anak Melayu Negeri Kelantan Darulnaim/Tuan Guru Pondok Atas Banggol - Kota Bharu Kelantan iaitu :

Maulana Syeikh Wan Ahmad bin Syeikh Wan Mohammad Zain bin Dato Panglima Kaya Syeikh Wan Mustafa bin Syeikh Wan Mohammad bin Syeikh Wan Mohammad Zainal Abidin (Fakih Wan Musa Al-Jambusi As-Sanawi Al-Fathani),

telah dilantik menjadi Ulama besar Masjidil Haram, Mufti Tarim Kerajaan Othmaniah Turki (yang dilantik oleh Sultan Abdul Hamid Turki ketika itu) dan juga Kerajaan Melayu Islam Asia Tenggara. Ulama besar ini (juga guru kepada Syeikh Yusof Kenali – Tok Kenali) juga telah membuat satu himpunan raksaksa Ahli Jawi Melayu Asal Bangsa Kebangsaan Pegang Teguh Agama islam di Madrasah Darul Ulum Makkatul Mukarramah yang dihadiri lebih lima ribu ulama Nusantara,

(Di dalam Kitab Hadiqatul Azhar War Rayaihin Edisi Bahasa Arab, Syeikh Wan Ahmad Fathani telah berdoa - maksudnya "Ya Allah, perkuatkanlah orang-orang Islam Melayu atas bangsa-bangsa kafir dan kembalikanlah negeri-negeri kami kepada kami, perkenankanlah Ya Allah, Ya Rabbal 'Aalamiin

b) Syeikh Abdul Rahman Fathani - seorang lagi Ulama Besar juga seorang guru di Masjidil Haram/Makkatul Mukarramah dilantik menjadi Duta Besar Islam Melayu Markaz Serambi Mekah berpusat di Pondok Atas Banggol, Kota Bharu, Kelantan Darulnaim

Perjuangan kemudian diteruskan oleh Al-Allamah Tuan Guru Maulana Syeikh Yusof Al-Kenali (Tok Kenali) kemudiannya muridnya Syeikh Mahmud Nasri Osmani dan akhirnya kini Tuan Guru Haji Ahmad Che Din (Junaiddin).(14)

*, Nota 14 :
Dari Abu Hurairah dalam sebuah hadith sahih,beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Sesungguhnya Allah akan mengutus bagi umat ini orang yang akan memperbaharui (tajdid) agama mereka pada setiap akhir seratus tahun”

Tajdid kembali agama dengan mengucapkan kembali Dua Kalimah Syahadah adalah amalan ulama khalaf (juga berpunca dari ulama salaf) yang dibawa oleh Syeikh Mahmud Nasri Osmani adalah untuk membersihkan umat Islam selepas peristiwa 13 Mei yang rata-rata terpengaruh dengan kisah-kisah berbaur mistik yang boleh membawa kepada kesyirikan, kekufuran dan keengkaran.

Adalah menjadi tanggungjawab seorang Muslim yang akil-baligh untuk memfardhukan ke atas dirinya iman dan taat, segala syariat dan hukum melalui ucapan dua kalimah syahadah bagi menanggung taklif syarak ke atas dirinya sebagai mukallaf.

Tajdid pula diperlukan disebabkan terlalu banyak dosa syirik khafi dan jali, syirik uluhiyah dll - syirik yang secara terang-terangan atau yang terlalu halus serta tidak disedari yang dilakukan masakini oleh Umat Islam ('andad dan asnam ' yang tidak disedari spt. menyatakan azimat, senjata tertentu dll membawa bekas dengan sendirinya atau adat istiadat yang berlanggaran dengan hukum syarak, bersahabat dengan jin, saka keturunan dll).

Dosa syirik adalah dosa yang tidak diampunkan Allah SWT kecuali wajib menerima secara talaki - ucapan kembali (tajdid) dua kalimah syahadah selagi belum tiba ajalnya.

Amalan tajdid agama (memperbaharui) menerusi ucapan kembali dua kalimah syahadah ini juga berpunca dari amalan Rasulullah S.A.W. contohnya selepas menakluki kembali Kota Makkatul Mukarramah menerusi pelbagai bai-ah untuk memfardhukan kembali iman dan taat kepada Allah SWT dan RasulNya - kerana ramai pengikut baginda S.A.W. menjadi munafik, fasik, zindik dsb. malah ada yang syak, zhan dan waham, dsb. terhadap baginda S.A.W. malah ada yang berani melakukan perkara-perkara syirik/khurafat contohnya melakukan ibadah haji (bertawaf) (sebelum Mekah ditakluk kembali) dengan membawa berhala kecil di ketiak mereka dsb.

Tajdid yang sama ini juga dibawa kemudiannya oleh Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani di zaman khalaf dan menerusi Sayyid Syeikh Abdullah Al-Qumairy di alam Melayu.

Kira-kira 200 tahun kemudian (sebelum penjajahan) tajdid yang sama dipercayai dibawa oleh seorang tokoh agama ahlul bayt mujaddid yang bernama Syed Jamadil Hussin Al-Qubra (gelaran-gelaran lain ialah Al-Jarmi, Azmatkhan Al-Hussainy dan Al Hadhrami) bagi tujuan yang sama - mentajdid kembali agama menerusi ucapan kembali dua kalimah syahadah bagi tujuan membersihkan ajaran Islam, peradaban/tamaddun terutamanya adat istiadat yang kembali bercampuraduk dengan ajaran Hindu, kepercayaan animisma serta dicampuradukkan dengan ajaran Islam

Dari Syed Jamadil Hussein Al-Qubra inilah lahirnya leluhur ahlul bayt 'gelombang baru' seperti Walisongo yang dipercayai berkaitan dengan keturunan Raja-Raja Melayu (terutamanya Kelantan) termasuk keturunan para ulama Nusantara seperti Syeikh Wan Ahmad Fathani, Syeikh Daud Fathani, Syeikh Abdul Qadir Fathani dll.

Tok Kenali sejak dari usia yang muda lagi meminati pembacaan dan menaruh pandangan yang begitu tinggi terhadap tugas-tugas penulisan serta peranan majalah-majalah dan akhbar-akhbar sebagai media-massa yang berpengaruh untuk menyatupadukan umat Melayu Islam . Atas kesedaran itulah beliau tampil mempelopori usaha memimpin majalah ‘Pengasoh’ yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan walaupun beliau terbeban dengan tugas-tugas besar yang lain. Ini dapat diperhatikan dalam tulisannya dalam keluaran pertama majalah ‘Pengasoh’ :


“ Telah mengakulah saya bahawa saya ini tiada daripada medan kuda ini. Sekiranya jika ada orang yang mengenangkan pekerjaan saya ini berhentilah saya, kerana bukan tujuannya saya hendak menunjukkan kebijakan dan mencari kepujian, kerana adalah orang yang mengarang itu jadi kikit bagi sekelian penembak. Jika tidak ia pejam matanya, nescaya mati ia kerana dukacita, tetapi tatkala adalah yang dituntut daripada sesorang itu manfaatnya atau mudharatnya, beranilah saya menceburkan diri dalam lautan api yang sentiasa bernyala-nyala. Selama ada angin yang baik itu tiadalah puas hati saya mati sebelum saya lihat perubahan yang baru lagi elok ……..

Tatkala saya ketahui bahawasanya tiada ada orang yang boleh jadi utusan yang usaha pada menghimpunkan antara anak-anak Melayu kita ini, maka cintalah saya dengan harapan bahawa diadakan pada tiap-tiap sebuah negeri di dalam Semenajung Tanah Melayu kita ini sekurang-kurangnya satu suratkhabar yang dipunya oleh anak-anak negeri sendiri supaya menepati ia utusan yang bijaksana menyeru kepada bersekutu dan bersatu pada tiap-tiap pekerjaan yang mendatangkan muslihat bagi watan, bangsa dan agama ………….

Cuba engkau tilik cerah matahari kelebihan orang yang telah dapat kemenangan kerana amalan yang kebajikan dan pandangan kelam orang yang telah jatuh kerana amalan yang kejahatan , maka disitulah ‘Pengasoh’ bertimpus membedakkan sekelian yang hadir dengan bedak pengharapan , mudah-mudahan subur sekelian dengan darah dan daging yang boleh menghadamkan tanahair dan menunjukkan kepada raja."